Tuesday, March 22, 2011

berita wilayah kita


Memo Editor
Kemudahan IT perlu untuk pendidikan 

KAMPUNG WAKAF – Perkembangan pesat dunia teknologi sekarang, tidak lagi membeza-bezakan antara mereka yang berada di bandar mahu pun di luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Zainuddin Awang Hamat berkata, kemudahan teknologi maklumat (IT) perlu diberi pendedahan kepada golongan muda sekarang dalam membantu meningkatkan prestasi akademik mereka.

Beliau berkata, ini kerana kemudahan itu memberikan banyak manfaat kepada mereka dari segi mencari maklumat serta menambahkan ilmu yang diajar oleh guru di sekolah.

“Bagaimanapun, pemantauan harus dilakukan golongan dewasa kerana kemudahan itu juga boleh mendedahkan mereka kepada perkara yang tidak berfaedah kerana konsepnya yang menyeluruh dan terbuka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menyampaikan Sumbangan tiga unit komputer untuk kegunaan anak-anak yatim di Pejabat Markaz Al-Aitam, di sini, semalam.

Menurutnya, dengan adanya komputer tersebut, dapat digunakan oleh mereka di situ dalam meningkatkan lagi mutu pelajaran mereka, dan berkongsi ilmu dengan semua yang ada tanpa mengira darjat.

Sementara itu, Setiausaha Pejabat Markaz Al-Aitam, Nik Yusuf Nik Abdullah berkata, pihaknya bersyukur kerana ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan kepada markas mereka itu.

“Kami di sini, sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak yang ingin menyumbangkan apa sahaja dalam usaha membangunkan sekolah anak-anak yatim itu pada masa akan datang, demi kecemerlangan pendidikan,” katanya.

Nik Yusuf berkata, sokongan dan doa orang ramai kepada anak-anak yatim akan menjadikan mereka lebih kuat untuk mengharungi kehidupan ini, walaupun tanpa ibu bapa di sisi masing-masing.

No comments:

Post a Comment